Sabtu, 28 Desember 2013

Browse » home» » » » » Lagi nahas bas ekspres

Lagi nahas bas ekspres

KEADAAN bas ekspres Transnasional yang terbabit kemalangan selepas terlanggar pondok bas di Kilometer 12 Jalan Lipis-Merapoh, dekat Kuala Lipis, semalam. 

KUANTAN  - Tidak sampai 24 jam selepas kejadian kemalangan bas yang mengorbankan seorang penumpang lelaki di tali air di Kampung Sungai Miang, Pekan, satu lagi kemalangan membabitkan bas ekspres berlaku di Kilometer 12 Jalan Lipis-Merapoh, dekat Kuala Lipis malam tadi.

Kemalangan yang berlaku pukul 11.45 malam itu bagaimanapun tidak mengakibatkan kematian. Namun, tiga daripada penumpang bas itu parah termasuk salah seorang dipercayai anggota bomba hancur kaki kirinya.

Selain mereka, lima penumpang lain termasuk seorang wanita hamil yang cedera kini dirawat di Hospital Kuala Lipis (HKL).

Ketua Polis Daerah Lipis, Supritendan Abdul Razak Hassan berkata, siasatan awal mendapati bas ekspres Transnasional itu membawa 31 orang penumpang menghala ke Kota Bharu, Kelantan dari Kuala Lumpur.

Menurutnya, sebaik sahaja tiba di tempat kejadian, pemandunya berusia lingkungan 40-an dipercayai hilang kawalan lalu melanggar pondok bas di tepi jalan.

Bas itu kemudian merempuh pembahagi jalan sebelum terbalik, katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Kelmarin, seorang penumpang maut setelah terperangkap dalam bas ekspres yang terbalik di dalam tali air di Kampung Sungai Miang.

Kejadian berlaku pukul 8.15 malam di Kilometer 20 Jalan Pekan-Nenasi, membabitkan bas ekspres Transnasional yang dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Kuantan.

Abdul Razak memberitahu, kesemua mangsa berjaya dikeluarkan oleh sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Lipis sebelum penumpang yang cedera parah termasuk mangsa putus kaki kiri dikejarkan ke HKL untuk menerima rawatan lanjut.

Abdul Razak berkata, proses untuk mengeluarkan mangsa mengambil masa lebih dua jam termasuk kerja-kerja mengangkat dan mengalihkan bas ekspres berkenaan dengan menggunakan kren.

Polis telah mengambil keterangan sebahagian daripada penumpang yang mengalami cedera ringan sebaik saja mereka selesai menerima rawatan di HKL.

Pemandu bas dan pemandu kedua tidak mengalami sebarang kecederaan. Mereka kini ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, katanya.


source

Tidak ada komentar:

Posting Komentar